Diriwayatkan bahawa surah Al-Maidah ayat 3 diturunkan selepas waktu Asar iaitu pada hari Jumaat di Padang Arafah pada musim haji penghabisan (Wada’).
Pada masa itu Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam. yang menunggang unta berada di Padang Arafah. Ketika ayat ini diturunkan, Rasulullah tidak begitu jelas penerimaannya, untuk mengingati isi dan makna yang terkandung dalam ayat tersebut, baginda bersandar pada unta sambil unta tersebut duduk berlahan-lahan.
Setelah itu turun malaikat Jibrail Alaihi-Salam dan berkata “Wahai Muhammad, sesungguhnya pada hari ini aku telah sempurnakan urusan agamamu, maka terputuslah apa yang diperintahkan oleh Allah Subhana-wa-Ta’ala dan demikian juga apa yang terlarang oleh-Nya. Oleh itu kamu kumpulkan sahabatmu dan beritahu mereka bahawa hari ini adalah hari terakhir aku bertemu dengan kamu.”
Sebaik sahaja malaikat Jibrail Alaihi-Salam pergi maka Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam. pun berangkat ke Mekah dan terus ke Madinah. Setelah Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam. mengumpulkan para sahabat, maka Rasulullah pun menceritakan apa yang telah diberitahu oleh malaikat Jibrail Alaihi-Salam.
Apabila para sabahat mendengar hal demikian mereka pun gembira sambil berkata “Agama kita telah sempurna! Agama kita telah sempurna!”
Apabila Abu Bakar mendengar keterangan Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam. itu, dia tidak dapat menahan kesedihannya, maka dia pun kembali ke rumah lalu mengunci pintu dan menangis. Abu Bakar menangis dari pagi hingga ke malam.
Kisah tentang Abu Bakar Radhiallahu-anhu menangis telah sampai kepada sahabat yang lain, maka berkumpullah para sahabat di hadapan rumah Abu Bakar Radhiallahu-anhu dan mereka berkata “Wahai Abu Bakar, apakah yang telah membuatmu menangis sehingga keadaanmu sebegini rupa? Sepatutnya kamu berasa gembira kerana agama kita telah sempurna.”
Mendengar pertanyaan dari para sahabat maka Abu Bakar Radhiallahu-anhu pun berkata “Wahai para sahabatku, kamu semua tidak tahu tentang musibah yang menimpa kamu, tidakkah kamu tahu bahawa apabila sesuatu perkata itu telah sempurna maka akan kelihatanlah kekurangannya. Dengan turunnya ayat tersebut ia menunjukkan perpisahan kita dengan Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam. Hasan dan Husin menjadi yatim dan para isteri Nabi menjadi janda.”
Setelah mendengar penjelasan dari Abu Bakar Radhi-Allahu-anhu, maka sedarlah mereka akan kebenaran kata-kata Abu Bakar Radhi-Allahu-anhu, lalu mereka menangis. Tangisan mereka telah di dengar oleh para sahabat yang lain, maka mereka pun terus memberitahu Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam. tentang apa yang mereka lihat itu.
Salah seorang dari sahabat berkata “Ya Rasulullah, kami baru balik dari rumah Abu Bakar Radhi-Allahu-anhu dan kami dapati ramai orang menangis dengan suara yang kuat di hadapan rumah beliau.” Apabila Rasulullah mendengar penjelasan dari sahabat itu, maka berubahlah muka Rasulullah dan dengan segera baginda bergegas ke rumah Abu Bakar Radhi-Allahu-anhu.
Sebaik sahaja Rasulullah sampai di rumah Abu Bakar Radhi-Allahu-anhu, maka Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam melihat kesemua mereka menangis dan bertanya “Wahai sahabatku. Kenapakah kamu semua menangis?” Kemudian Ali Karamallahu-wajhah berkata “Ya Rasulullah, Abu Bakar mengatakan dengan turunnya ayat ini membawa tanda bahawa wafatmu telah hampir, Adakah ini benar, ya Rasulullah?”
Lalu Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam bersabda “Semua yang dikatakan oleh Abu Bakar Radhi-Allahu-anhu adalah benar dan sesungguhnya masa untuk aku meninggalkan kamu semua telah hampir.” Sebaik sahaja Abu Bakar Radhi-Allahu-anhu mendengar dari pengakuan Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam sendiri, dia pun menangis sekuat tenaganya sehinggalah jatuh pengsan sementara Ali Karamallahu-wajhah pula menggeletarseluruh tubuhnya.
Para sahabat yang lain turut menangis dengan sekuat-kuatnya. Sehinggalah gunung-ganang, batu-batu, semua malaikat yang di langit, cacing-cacing seta semua binatang di darat mahupun di laut turut menangis. Kemudian Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam bersalam dengan para sahabat satu demi satu dan berwasiat kepada mereka.
Pada saat sudah hampir ajal Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam, baginda menyuruh Bilal bin Rabah azan untuk mengerjakan solat, lalu berkumpullah para muhajirin dan ansar di masjid Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam kemudian Rasulullah menunaikan solat 2 rakaat bersama semua yang hadir.
Setelah selesai mengerjakan solat baginda bangun dan naik ke atas mimbar dan berkhutbah “Alhamdulillah, wahai para muslimin, sesungguhnya aku adalah seorang Nabi yang diutus dan mengajak orang kepada jalan Allah dengan izin-Nya dan aku adalah saudara kandung kamu yang menyayangi kamu semua seperti seorang ayah.”
“Oleh itu kalau sesiapa yang mempunyai hak untuk dituntut, maka hendaklah dia bangun dan memberitahuku sebelum aku dituntut di hari kiamat.”
Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam bersabda sebanyak tiga kali kemudian bangun seorang lelaki yang bernama ‘Ukasyah bin Muhshan dan berkata “Demi ayah dan ibuku ya Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam, kalau anda mengumumkan kepada kamu berkali-kali sudah tentu saya tidak mahu mengemukakan hal ini.”
Lalu ‘Ukasyah berkata lagi “Sesungguhnya dalam perang Badar, saya bersamamu ya Rasulullah, pada masa itu saya mengikut untamu dari belakang, setelah dekat saya pun turun menghampirimu dengan tujuan supaya dapat mencium pehamu, tetapi engkau telah mengambil tongkat dan memukul untamu supaya berjalan cepat dan pada masa itu engkau terpukul pada tulang rusuk saya. Oleh itu, saya hendak tahu sama ada anda sengaja atau cuma hendak memukul unta tersebut.”
Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam bersabda “Wahai ‘Ukasyah, Rasulullah sengaja memukul kamu.” Kemudian Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam berkat a kepada Bilal bin Rabah Radhi-Allahu-anhu “Wahai Bilal, kamu pergi ke rumah Fatimah dan ambilkan tongkat aku ke mari.”
Bilal keluar dari masjid menuju ke rumah Fatimah sambil meletakkan tangannya di atas kepada dengan berkata “Rasulullah telah menyediakan dirinya untuk di balas(qisas).”
Setelah Bilal sampai di rumah Fatimah, maka Bilal pun member salam dan mengetuk pintu. Kemudian Fatimah Radhi-Allahu-anha menyahut dengan berkata “Siapakah di pintu?” Lalu Bilal berkata “Saya Bilal, saya diperintahkan oleh Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam untuk mengambil tongkatnya.” Kemudian Fatimah berkata “Wahai Bilal, untuk apa ayahku meminta tongkatnya?” Bilal berkata “Wahai Fatimah, Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam telah menyediakan dirinya untuk di qisas.”
Fatimah bertanya lagi “Wahai Bilal, siapakah manusia yang sampai haitnya untuk mengqisasa Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam?” Bilal tidak menjawab pertanyaan Fatimah Radhi-Allahu-anha, sebaik sahaja Fatimah memberikan tongkat tersebut maka Bilal pun membawanya kepada Rasulullah.
Setelah Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam menerima tongkat tesebut dari Bilal bin Rabah maka bagindapun menyerahkan kepada ‘Ukasyah. Melihat demikian, maka Abu Bakar Radhi-Allahu-anhu dan Umar Radhi-Allahu-anhu tampil ke hadapan sambil berkata “Wahai ‘Ukasyah, janganlah kamu qisas baginda Rasulullah, tetapi kamu qisaslah kamu berdua.”
Apabila Rasulullah mendengar kata-kata Abu Bakar dan Umar Radhi-Allah-anhuu maka dengan segera baginda bersabda “Wahai Abu Bakar dan Umar, duduklah kamu sesungguhnya Allah S.W.T telah menetapkan tempat untuk kamu berdua.”
Kemudian Ali Karamallahu-wajhah bangun lalu berkata “Wahai ‘Ukasyah, aku adalah orang yang sentiasa berada di samping Rasulullah, oleh itu kamu pukullah aku dan janganlah kamu mengqisas Rasulullah.”
Lalu Rasulullah bersabda “Wahai Ali, duduklah kamu sesungguhnya Allah Subhana-wa-Ta’ala telah menetapkan tempatmu dan mengetahui isi hatimu.”
Setelah itu Hasan dan Husin bangun dan berkata “Wahai ‘Ukasyah, bukankah kamu tidak mengerti bahawa kami ini adalah cucu Rasulullah, kalau kamu mengqisas kami sama juga kamu mengqisas Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam.”
Mendengar kata-kata cucunya, Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam pun bersabda “Wahai buah hatiku, duduklah kamu berdua. “Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam bersabda “Wahai ‘Ukasyah, pukullah saya kalau kamu hendak memukul.”
Kemudian ‘Ukasyah berkata “Ya Rasululallah Salallahu-Alaihi-wa-Salam kamu telah memukul saya sewaktu saya tidak memakai baju.” Maka Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam pun membuka baju, sebaik sahaja Rasulullah membuka baju maka menangislah semua yang hadir.
Sebaik sahaja ‘Ukasyah melihat tubuh badan Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam, maka dia pun mencium baginda dan berkata “Saya tebus anda dengan jiwa saya, Ya Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam, siapakah yang sanggup memukul kamu. Saya melakukan begini adalah kerana saya ingin menyentuh tubuhmu yang dimuliakan oleh Allah Subhana-wa-Ta’ala dengan badan saya dan Allah Subhana-wa-Ta’ala menjaga saya dari nereka dengan kehormatanmu.”
Kemudian Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam bersabda “Dengarlah kamu sekalian, sekiranya kamu hendak melihat ahli syurga, inilah orangnya.” Kemudian semua para jemaah bersalaman atas kegembiraan mereka terhadap peristiwa yang sangat menyentuh perasaan itu.
Setelah itu para jemaah berkata “Wahai ‘Ukasyah, inilah keuntungan yang paling besar bagimu, engkau telah memperolehi darjat yang tinggi dan bertemankan Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam di dalam syurga.”
Apabila ajal Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam makin hampir maka baginda pun memanggil para sahabat ke rumah Siti Aisyah Radhi-Allahu-anha dan baginda bersabda “Selamat datang kamu semua semoga Allah Subhana-wa-Ta’ala mengasihi kamu semua, aku berwasiat kepada kamu semua agar kamu semua bertaqwa kepada Allah Subhana-wa-Ta’ala dan mentaati segala perintahnya. Sesungguhnya hari perpisahan antara aku dengan kamu semua hampir dekat. Kalau telah sampai ajalku, maka hendaklah Ali yang memandikanku, Fadhl bin Abas hendaklah menuangkan air dan Usamah bin Zaid hendaklah menolong keduanya.”
Setelah itu kamu kapani aku dengan pakaianku sendiri apabila kamu semua menghendaki atau kapanilah aku dengan kain Yaman yang putih. Apabila kamu memandikan aku, maka hendaklah kamu meletakkan aku diatas balai tempat tidurku dalam rumah aku ini”
“Setelah itu kamu semua keluarlah sebentar meninggalkanku, pertama yang akan mensolatkan aku ialah Allah Subhana-wa-Ta’ala, kemudian yang akan mensolatkan aku ialah Jibrail Alaihi-Salam, kemudian diikuti oleh malaikat Izrail serta semua pembantunya. Setelah itu baru kamu semua makhluk beramai-ramai bersolat ke atasku.”
Sebaik sahaja para sahabat mendengar ucapan yang amat menyayat hati itu, maka mereka menangis dengan kuat dan berkata “Ya Rasulullah,engkau adalah seorang Rasul yang diutus kepada kami. Selama ini engkau member kekuatan kepada kami dan sebagai penguasa yang menguruskan urusan kami.”
“Apabila engkau seudah tiada nanti siapakah yang akan kami ajukan setiap persoalan yang timbul?” Kemudian Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam bersabda “Dengarlah para sahabatku, aku tinggalkan kamu semua jalan yang benar dan jalan yang terang dan aku telah tinggalkan kepada kamu semua, dua penasihat yang satu daripadanya pandai berbicara dan yang satu lagi diam sahaja. Pandai berbicara itu ialah al-Quran dan yang diam itu ialah maut.”
“Apabila ada sesuatu persoalan yang rumit di antara kamu, maka hendaklah kamu semua kembali kepada al-Quran dan hadithku dan sekiranya hati kamu itu keras maka lembutkanlah ia dengan mengambil pengajaran dari mati.”
Setelah Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam berkata demikian, maka sakit Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam bermula. Dalam bulan Safar, Rasulullah sakit selama 18 hari dan sering diziarahi oleh para sahabat.
Dalam sebuah kitab diterangkan bahawa Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam diutuskan pada hari Isnin dan wafat pada hari Isnin. Pada hari Isnin, sakit Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam bertambat berat, setelah Bilal Radhi-Allahu-anhu selesai azan subuh, maka Bilal Radhi-Allahu-anhu pun pergi ke rumah Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam.
Setibanya Bilal Radhi-Allahu-anhu di rumah Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam, maka Bilal pun member salam “As-Salamu-Alaikum ya Rasulullah.” Lalu djawab oleh Fatimah Radhi-Allahu-anha “Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam masih sibuk dengan urusan baginda.” Setelah Bilal Radhi-Allahu-anhu mendengar penjelasan dari Fatimah Radhi-Allahu-anha, maka Bilal pun kembali ke masjid tanpa memahami kata-kata Fatimah Radhi-Allahu-anha.
Apabila waktu subuh hampir hendak lupus, Bilal pergi sekali lagi ke rumah Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam dan member salam seperti permulaan tadi, kali ini salam Bilal telah di dengar oleh Rasulullah dan baginda bersabda “Masuklah wahai Bilal, sesungguhnya penyakitku ini semakin berat, oleh itu kamu suruhlah Abu Bakar mengimamkan solat Subuh berjemaah dengan mereka yang hadir.”
Setelah mendengar kata-kata Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam, maka Bilal pun berjalan menuju ke masjid sambil meletakkan tangannya di atas kepada dengan berkata “Musibah!” Sebaik sahaja Bilal sampai di masjid maka Bilal pun memberitahu Abu Bakar tentang apa yang telah Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam katakana kepadanya.
Abu Bakar tidak dapat menahan dirinya apabila melihat mimbar kosong, maka dengan suara yang kuat Abu Bakar Radhi-Allahu-anhu menangis sehingga jatuh pengsan.
Melihat peristiwa itu, maka riuh-rendahlah di dalam masjid sehingga Rasulullah bertanya kepada Fatimah apakah yang berlaku. Maka Fatimah memberitahu “Kekecohan kaum muslimin kerana engkau tidak pergi ke masjid.”
Kemudian Rasulullah memanggil Ali Karamallahu-wajhah dan Fadhl bin Abas, lalu Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam bersandar kepada kedua mereka dan terus pergi ke masjid. Setelah Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam sampai di masjid maka baginda pun bersolat Subuh bersama dengan para jemaah.
Setelah selesai solat Subuh maka Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam pun bersabda “Wahai kaum Muslimin, kamu semua sentiasa dalam pertolongan dan pemeliharaan Allah Subhana-wa-Ta’ala, oleh itu hendaklah kamu semua bertaqwa kepada Allah Subhana-wa-Ta’ala dan mengerjakan segala perintah-Nya.”
“Sesungguhnya aku akan meninggalkan dunia ini dan kamu semua, hari ini adalah hari pertama aku di akhirat dan hari terakhir aku di dunia.”
Setelah berkata demikian, maka Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam pun pulang ke rumah.
Kemudian Allah memerintahkan kepada malaikat Izrail “Wahai Izrail, pergilah kamu kepada kekasih-Ku dengan sebaik-baik rupa, dan apabila kamu hendak mencabut rohnya, maka hendaklah kamu melakukan dengan cara yang paling lembut sekali. Apabila kamu pergi ke rumahnya, maka minta izinlah terlebih dahulu, kalau diizinkan kamu masuk, maka masuklah kamu ke rumahnya dan kalau dia tidak mengizinkan kamu masuk, maka hendaklah kamu kembali kepada-Ku.”
Sebaik sahaja malaikat Izrail mendapat perintah dari Allah Subhana-wa-Ta’ala maka malaikat Izrail pun dengan segera menyerupai seorang Arab Badwi. Setelah malaikat Izrail sampai dihadapan rumah Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam maka dia pun member salam
“As-Salamu-Alaikum yaa ahla baitin nubuwwati wa ma danir risaalati aadkhulu?” (“Mudah-mudahan keselamatan tetap untuk kamu sekalian, wahai penghuni rumah Nabi dan sumber risalah, bolehkah saya masuk?”)
Apabila Fatimah mendengar orang member salam maka dia pun berkata “Wahai hamba Allah, Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam. sedang sibuk kerana sakitnya yang semakin berat.”
Kemudian Malaikat Izrail berkata lagi seperti permulaannya dan kali ini seruan malaikat itu telah didengar oleh Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam dan Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam. bertanya kepada Fatimah Radhi-Allahu-anha
“Wahai Fatimah, siapakah di depan pintu itu.”
Maka Fatimah Radhi-Allahu-anha berkata
“Ya Rasulullah, ada seorang Arab Badwi memanggilmu dan aku telah katakan kepadanya bahawa engkau sedang sibuk kerana sakit, sebaliknya dia memandangku dengan tajam sehingga merasa menggigil badanku.”
Kemudian Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam. bersabda
“Wahai Fatimah, tahukah kamu siapakah orang itu?”
Jawab Fatimah
“Tidak ayah.”
Bersabda Rasulullah
“Dia adalah malaikat Izrail, malaikat yang akan memutuskan segala macam nafsu syahwat yang memisahkan kumpulan-kumpulan dan yang memusnahkan semua rumah serta meramaikan penghuni kubur.”
Fatimah Radhi-Allahu-anha tidak dapat menahan air matanya lagi setelah mengetahui bahawa saat perpisahan dengan ayahnya telah hampir, dia menangis sepuas-puasnya.
Apabila Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam. mendengar tangisan Fatimah, maka baginda pun bersabda
“Janganlah engkau menangis wahai Fatimah, engkaulah orang pertama dalam keluargaku akan bertemu dengan aku.”
Kemudian Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam. menjemput malaikat Izrail masuk. Maka malaikat Izrail pun masuk dengan mengucap
“As-Salamu-Alaikum ya Rasulullah.”
Lalu Rasululllah Salallahu-Alaihi-wa-Salam menjawab
“Wa-alaika-Salamu, wahai Izrail engkau datang menziarahi aku atau untuk mencabut rohku?”
Izrail berkata
“Kedatanganku adalah untuk menziarahimu dan mengambil rohmu, itupun kalau kamu izinkan, kalau tidak izinkan maka aku akan kembali.”
Rasulullah bersabda
“Wahai Izrail, dimanakah kamu tinggalkan Jibrail?”
Izrail berkata
“Aku tinggalkan Jibrail Alaihi-Salam di langit dunia, semua para malaikat sedang mulaikan dia.”
Tidak berapa saat kemudian Jibrail Alaihi-Salam pun turun dan duduk dekat kepada Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam..
Apabila Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam melihat kedatangan Jibrail Alaihi-Salam, maka Rasulullah pun bersabda
“Wahai Jibrail, tahukah kamu bahawa ajalku sudah dekat?”
Jibrail berkata
“Ya, aku memang tahu.”
Rasulullah bertanya lagi
“Wahai Jibrail beritahu kepadaku kemuliaan yang menggembirakan aku disisi Allah Subhana-wa-Ta’ala.”
Jibrail Alaihi-Salam berkata
“Sesungguhnya semua pintu langit telah dibuka, para malaikat bersusun rapi menanti rohmu di langit. Kesemua bidadari sudah berhias menanti kehadiran rohmu.”
Rasululullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam bersabda
“Sekarang kamu katakan pula tentang umatku pada hari Kiamat nanti.”
Jibrail Alaihi-Salam menjawab
“Allah Subhana-wa-Ta’ala telah berfirman “Sesungguhnya Aku telah melarang semua nabi masuk syurga sebelum engkau masuk terlebih dahulu dan Aku juga melarang semua umat memasuki syurga sebelum umatmu memasuki syurga.”
Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam. berkata “
Wahai Izrail, dekatlah kamu kepadaku.”
Setelah itu malaikat Izrail pun memulakan tugasnya. Apabila roh sampai di pusat baginda, maka Baginda pun berkata
“Wahai Jibrail, alangkah dahsyatnya rasa mati.”
Jibrail mengalihkan pandangan dari Rasulullah apabila mendengar kata-kata baginda. Melihat telatah Jibrail itu, maka Rasulullah pun bersabda
“Wahai Jibrail, apakah kamu tidak suka melihat wajahku?”
Jibrail Alaihi-Salam berkata
“Wahai kekasih Allah, siapakah yang sanggup melihat wajahmu dikala kamu dalam sakaratul maut?”
Anas bin Malik berkata “Apabila roh Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam. telah sampai di dada, baginda bersabda “Aku wasiatkan kepada kamu semua menjaga solat dan apa-apa yang telah diperintahkan ke atasmu.”
Ali Karamallahu-wajhah berkata “Sesungguhnya Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam. ketika menjelang saat-saat terakhir, telah menggerakkan kedua bibir baginda sebanyak dua kali dan aku meletakkan telingaku dekat Rasulullah Salallahu-Alaihi-wa-Salam, baginda bersabda “Umatku! Umatku!”
Thursday, February 4, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment