Nikmat Makan-Minum di Syurga
Beruntungnya penghuni-penghuni syurga…Sesungguhnya orang-orang yang berada di syurga itu menikmati makan dan minum apa saja yang diinginkan. Ini berdasarkan firman Allah Taala yang maksudnya :
“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa berada di tempat teduh (yang dipenuhi pelbagai nikmat), dan yang berdekatan dengan mata air-mata air (yang mengalir), serta menikmati buah-buahan dari segala jenis yang mereka ingini. (Pada ketika itu dikatakan kepada mereka): “Makanlah dan minumlah kamu dengan lazatnya, disebabkan apa yang kamu telah kerjakan.”
(Al-Mursalat : 41-43)
Penduduk syurga akan mendapat makanan dan minuman tanpa sebarang kesusahan. Rezeki akan datang sedang mereka duduk-duduk saja. Firman Allah bermaksud :
“Maka sesiapa yang menerima kitab amalnya dengan tangan kanannya, maka ia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya): ` Nah! bacalah kamu Kitab amalku ini!, “Sesungguhnya aku telah mengetahui dengan yakin, bahawa aku akan menghadapi hitungan amalku (pada hari yang ditentukan)!”, maka tinggalaah dia dalam kehidupan yang senang lenang lagi memuaskan, Di dalam syurga yang tinggi (darjatnya). Buah-buahannya dekat untuk dipetik, (masing-masing dipersilakan menikmatinya dengan dikatakan): “Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat yang lazat dan baik kesudahannya, dengan sebab (amal-amal soleh) yang telah kamu kerjakan pada masa yang lalu!”
(Al-Haqqah : 19-24)
“Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka), dan perasaan ria gembira (di hati). Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya), mereka dibalas oleh Allah dengan syurga dan (persalinan dari) sutera. Mereka berehat di dalam syurga dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang terlampau sejuk, Sedang naungan pohon-pohon syurga itu dekat kepada mereka, dan buah-buahannya pula dimudahkan (untuk mereka memetiknya) dengan semudah-mudahnya.”
(Al- Insan : 11-14)
Dalam mentafsirkan ayat tersebut, ada ahli tafsir berpendapat bahawa kalau penghuni syurga itu berdiri, maka cabang pohon yang berbuah itu ikut meninggi bersama mereka. Apabila mereka duduk, maka cabang pohon itu ikut turun sehingga mereka dapat memetiknya dengan mudah. Apabila mereka berbaring, maka cabang pohon buah-buahan itu ikut turun setinggi tempat tidur mereka.
Qatadah berkata bahawa tangan-tangan mereka tidak akan terhalang atau terkena duri bila memetik buah-buahan tersebut. Ahli syurga tersebut tidak akan merasa kesukaran untuk mendapatkan apa yang mereka kehendakki, firman Allah Taala maksudnya:
“Dan golongan kanan, alangkah bahagianya keadaan golongan kanan itu? Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri. Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya, Dan naungan yang tetap terbentang, Dan air yang sentiasa mengalir, Serta buah-buahan yang banyak, Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya,”
(Al-Waqiah : 27-33)
Para penghuni syurga itu masing-masing mempunyai pelayan-pelayan yang tidak pernah berubah kerana perjalanan masa. Walaupun telah bertahun-tahun mereka hidup di syurga, mereka tetap muda dan bercahaya seperti mutiara yang bertaburan. Para pelayan itu berjalan-jalan mengelilingi penghuni syurga sambil membawa gelas-gelas perak berisi air, susu, arak atau madu yang berasal dari sungai-sungai yang sangat bersih dalam syurga
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :
“Para penghuni syurga itu makan dan minum, tetapi mereka tidak membuang air besar, tidak membuang hingus dan juga tidak kencing. Makanan mereka keluar berupa misik. Mereka bertasbih dan bertakbir sebagaimana mereka bernafas”
(Riwayat Muslim)
Rasulullah s.a.w pernah ditanya tentang apakah kauthar? Baginda menjawab; Kauthar adalah sungai kurniaan Allah dalam syurga. Airnya lebih putih daripada susu, lebih manis daripada madu. Di situ ada burung yang lehernya seperti leher kambing. Umar berkata; ini benar-benar nikmat!. Baginda bersabda : “Memakannya lebih nikmat dan lebih lazat dari kambing biasa”.
(Riwayat Tarmizi)
Wallahu a’lam….Allahumma inna nas aluka ridhaka wal jannah…amin…moga kita mendapat manfaat
Thursday, June 18, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment